Pelaksanaan Kempen
Bumi Hijau (Amalan Bercucuk Tanam) telah dipersetujui oleh Jemaah
Menteri dalam mesyuaratnya pada 19 Oktober 2005 dan dirasmikan di
peringkat Kebangsaan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 3
Mac 2006. Matlamat utama program ini ialah untuk menggalakkan rakyat
bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian seperti
sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan.
Kempen ini akan
dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama
dikalangan penduduk-penduduk taman perumahan di bandar. Kempen ini
juga diharap dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar,
berkhasiat dan selamat dimakan disamping persekitaran perumahan
yang cantik dan menarik.
KONSEP PELAKSANAAN
Kempen Bumi
Hijau terdiri daripada 3 komponen iaitu Tanaman, Ternakan dan Akuakultur.
Di Putrajaya, pelaksanaan konsep komponen Tanaman dan Akuakultur diterapkan.
Pameran sempena Majlis Pelancaran Kempen Bumi Hijau
Peringkat Kebangsaan , 3 Mac 2006.
Sumber Jabatan Pertanian Malaysia
Pokok kadok dan kunyit merupakan contoh tanaman
yang boleh ditanam di dalam pasu
Kempen ini menggalakkan amalan bercucuk tanam
tanaman makanan berkonsepkan laman dapur atau ‘edible landscape’,
secara menanam tanaman bersesuaian dengan ruang sedia ada dan memenuhi
keperluan keluarga. Ia menekankan konsep pengeluaran makanan untuk
kegunaan sendiri sahaja.
Kempen ini ditujukan kepada semua rakyat dengan
sasaran utama adalah penduduk taman perumahan, penghuni rumah pangsa
dan murid-murid sekolah.
Anak-anak pokok pula ditanam di dalam bekas mudah
alih seperti pasu, polibeg dan seumpamanya atau di atas tanah. Jenis
tanaman yang dipilih terdiri daripada sayur-sayuran, daun dan buah,
herba dan ulam-ulaman yang boleh dituai secara berterusan.
Bagi komponen akuakultur,
pemeliharaan dalam takungan seperti kanvas adalah disarankan.
Pemeliharaan ikan di dalam kanvas
Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia
Manakala kaedah
ternakan yang sesuai adalah ternakan ayam kampung dan burung puyuh
secara pemeliharaan tertutup dalam kurungan.
PELAKSANAAN KEMPEN PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN
Kementerian Pertanian
dan Asas Tani bercadang untuk melancarkan program Kempen Bumi Hijau
Peringkat Wilayah Persekutuan dengan mengadakan satu majis perasmian
secara anjuran bersama antara Kementerian Pertanian dan Asas Tani
(MOA) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Jabatan Pertanian
Putrajaya akan mewakili MOA dan Perbadanan mewakili KWP sebagai
pelaksana program Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah Persekutuan.
Perasmian
akan disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, dalam tempoh
terdekat. Selaras dengan perasmian ini, pihak Perbadanan Putrajaya
turut mengadakan pameran semasa majlis berlangsung dan juga pameran
susulan di Karnival dan Promosi Kempen Bumi Hijau Peringkat Wilayah
Persekutuan di Alamanda Putrajaya selama 2 hari berturut-turut.
AKTIVITI YANG AKAN DILAKSANAKAN
Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Kempen Bumi Hijau
di Putrajaya, aktiviti-aktiviti berikut diadakan:
i. Perasmian Pelancaran Kempen Bumi Hijau Peringkat Putrajaya
ii. Pelancaran Laman Komuniti Putrajaya
iii. Promosi dan Publisiti yang berterusan
iv. Pameran
v. Pertandingan Laman Dapur
vi. Latihan dan demonstrasi
vii. Penyediaan bekalan input
viii. Sokongan teknikal
PENDEKATAN
Putrajaya
menggunakan pendekatan bercucuk tanam dan pemeliharaan akuakultur sebagai
menyambut seruan Kempen Bumi Hijau. Penanaman dan pemeliharaan akuakultur
akan dilaksanakan secara individu, keluarga atau komuniti.
i. Penanaman Secara Individu / Keluarga :
- Melibatkan seorang / satu keluarga.
- Dilaksanakan di dalam kawasan rumah dengan spesies tanaman
yang sesuai dengan saiz ruang dan keperluan keluarga.
- Jenis rumah untuk kaedah ini:
-- rumah berkembar
-- rumah teres
-- pangsapuri.
Contoh
jenis tanaman yang boleh ditanam secara komuniti.
ii. Penanaman Secara Komuniti
- Melibatkan komuniti setempat.
- Dilaksanakan di kawasan perumahan
yang mempunyai tanah lapang yang berhampiran.
- Kaedah ini membolehkan pelbagai jenis tanaman ditanam dengan mengambil
kira kuantiti yang mencukupi untuk keperluan setiap keluarga dalam
komuniti.
- Kelulusan secara rasmi penggunaan tanah ini diperlukan terlebih
dahulu.
iii. Pemeliharaan Akuakultur
- Ternakan ikan keli di dalam kanvas digalakkan.
- Secara individu/keluarga atau melibatkan komuniti setempat.
- Dilaksanakan di dalam kawasan rumah atau bagi kawasan perumahan
yang mempunyai tanah lapang yang berhampiran.
- Komponen peralatan ternakan ialah tangki kanvas lengkap dengan
bingkai, benih ikan dan makanan ikan yang diketengahkan oleh Jabatan
Perikanan Malaysia.
Pemeliharaan ikan keli di dalam kanvas
Sumber: Jabatan Perikanan Malaysia
PROGRAM LAMAN KOMUNITI
- Program Laman Komuniti Putrajaya sebagai program
susulan sempena Kempen Bumi Hijau akan diadakan oleh Perbadanan
Putrajaya.
- Program Laman Komuniti Putrajaya adalah selaras
dengan konsep pembangunan Putrajaya sebagai Bandar Raya Dalam Taman.
- Aktiviti ini juga mampu mengeratkan interaksi
antara penduduk dan ia merupakan satu langkah untuk mengwujudkan
masyarakat Putrajaya yang bersedia dipertanggungjawabkan menjaga
persekitaran kediaman komuniti masing-masing.
Program Laman Komuniti ini dicadangkan
untuk dijalankan secara berfasa:
- Untuk peringkat permulaan, modul Laman Dapur
akan diperkenalkan dengan beberapa contoh reka bentuk bagi rumah
jenis teres dan pangsapuri yang terdapat di presint-presint kediaman.
Reka bentuk Laman Dapur ini akan memperlihatkan satu reka bentuk
laman yang harmoni dan bersepadu antara tumbuhan boleh dimakan dan
tanaman hiasan.
- Untuk fasa seterusnya, laman komuniti bagi kategori rumah jenis
banglo, semi-D serta kawasan hijau termasuk rizab landskap dan taman-taman
akan dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan.